Assalamualaikum!
Wohaa two posts in a day! Amazing! Hehe. Anyway, came across this beautiful reminder. Hopefully it can open up our hearts iA. Have fun reading it! =)
Berdoa lah dengan penuh kerendahan |
Selalu berdoa?
Kita selalu berdoa. Semestinya. Secara langsung baik seperti selepas solat atau sebelum makan, atau pun secara tidak langsung seperti meminta di dalam hati dalam keadaan kesusahan. Doa adalah dituntut, kerana ALLAH sendiri mengarahkan kita berdoa dan berjanji akan memperkenankannya.
“ Dan berkata RABB kamu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan!” Surah Al-Mu’min ayat 60.
Pernah kah anda berdoa dan ALLAH makbulkan doa anda secara langsung, bukan anda minta terus dapat, tetapi maksud saya anda nampak doa anda itu dimakbulkan? Malah bukan sekali dua, tetapi berturut-turut.
Anda minta berjaya dalam exam, ALLAH bagi. Anda minta kaya, ALLAH beri.
Anda rasa doa anda makbul bukan? Secara tak langsung, anda rasa gembira. “ Pergh, ALLAH makbulkan doa aku seh”
Tapi, tahukah, kemungkinan, apa yang anda dapat itu, bukannya datang daripada doa kamu. Kerana doa kamu tidak makbul sebenarnya.
Pernah dalam kehidupan saya, saya berdoa, meminta kepada ALLAH dan saya sering nampak doa saya dimakbulkan oleh ALLAH SWT.
Saya pernah, dalam keadaan tersepit ketika PMR, dalam keadaan sedikit masa untuk studi dan dalam keadaan saya melakukan banyak kesilapan dalam menjawab peperiksaan, maka saya meminta kepada
ALLAH agar saya diberikan keputusan 9A.
Akhirnya saya dapat 9A.
Sewaktu SPM, saya sekali dalam kesempitan. Saya berdoa kepada ALLAH, agar jangan berikan saya keputusan yang teruk.
Akhirnya, saya mendapat keputusan yang tidak cemerlang, tetapi tidak pula terlalu teruk. Malah, saya punya keputusan dalam mata pelajaran sains yang sebelumnya saya amat teruk, telah meningkat dalam SPM. Ada pelajaran yang saya langsung tak pernah lulus, tetapi dalam SPM saya dapat C5.
Saya rasa suka. Saya rasa puas hati. Banyak lagi benda, saya minta kepada ALLAH dan ALLAH bagi.
Siapa yang tidak suka? Siapa yang tak rasa istimewa? Saya macam lemas dalam kehebatan saya sendiri ketika itu.
Akhirnya, pada satu hari, saya mendapat satu mesej berbentuk cerita daripada seorang yang saya tidak kenal.
Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.
Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka.
Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan ALLAH SWT.
Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas.
Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.
Akhirnya, ALLAH mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.
Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, ALLAH beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.
Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa.
Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
“ Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan ALLAH ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat”
Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.
Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
Kertas itu tertulis: “ Ya ALLAH, makbulkan lah segala doa abang aku”
MasyaALLAH…
Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada
ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.
Saya, terasa sungguh bila membaca mesej daripada orang yang tidak saya ketahui itu.
Oh. Saya mula terasa saya adalah Si Abang.
Mungkin, bukan doa saya yang makbul. Tetapi doa Ibu Bapa saya yang makbul. Saya mendapat mesej itu selepas mendapat keputusan SPM. Semenjak itu, saya sering berusaha meminta doa daripada orang lain.
Paling kurang, apabila saya berdoa, saya akan minta sahabat saya aminkan. Sebab, saya benar-benar terasa bahawa doa orang macam saya, tidak cukup untuk ALLAH makbulkan.
Sebab itu, saya sering meminta pembaca-pembaca menembak doa kepada saya. Sebab itu saya sering menulis, ‘Semoga ALLAH redha dengan kita…’, moga-moga ada pembaca saya yang soleh mengaminkannya dan doanya diterima.
Bila saya berjalan jauh sampai ke Jordan, saya nampak bahawa, perasaan rendah diri ini sememangnya perlu wujud dalam diri. Hal ini kerana, ketika peristiwa Palestin diserang Israel awal tahun 2009, Imam di Masjid Universiti sering mengulang doa ini:
“ Ya ALLAH, kalau KAU tolak doa kami, maka KAU terimalah doa orang-orang soleh dari kalangan kami”
MasyaALLAH, imam masjid besar di Irbid, seorang yang tekenal rendah diri dan soleh, pun merasakan doanya tidak layak dimakbulkan ALLAH. Tetapi kita, kadang-kadang, bila melihat doa kita makbul, jangan kata kita nak kembalikan keberjayaan makbul doa itu kepada ALLAH, malah kita rasa berbangga pula, seakan-akan kita rasa kita ini seorang dari wali-wali ALLAH.
Ya, ALLAH berjanji untuk memakbulkan doa.
“ Dan berkata RABB kamu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan!” Surah Al-Mu’min ayat 60.
“ Dan jika hambaKu bertanya kepadamu(wahai Muhammad) tentang AKU, sesungguhnya AKU amat dekat…” Surah Al-Baqarah 187.
Kita kena yakin sentiasa bahawa ALLAH akan makbulkan doa kita.
Tetapi, kita tidak boleh mengangkat diri kita dengan menyatakan bahawa ALLAH memakbulkan doa kita kerana kebagusan kita. Sebab itu, apabila berdoa, kita perlu berdoa dengan rendah diri. Jangan rasa kita hebat hanya kerana doa kita dimakbulkan. Malah, kalau kita perasan doa kita dimakbulkan, perlulah kita pulangkan segala kehebatan kepada ALLAH SWT.
Sesungguhnya, ALLAH itu memberikan rezeki dan pertolongan, kepada sesiapa yang DIA mahu.
(Dipetik from Hilal Asyraf, http://langitilahi.com/)
3 comments:
huhuhu...sebak rasa. muhasabah diri sekejap. terima kasih ejul. moga Allah makbulkan doa awk, amin.
InsyaAllah, semoga Dia makbulkan doa2 kita.
Anyway. ada kesalahan quotation. but dah betulkan dah. =)
terbaik :)
Post a Comment