Alhamdulillah.
Allahumma balighna Ramadhan! (Sampaikanlah kami kepada Ramadhan)
Doa telah dimakbulkan. Saya masih hidup untuk menjalani kehidupan dalam bulan yang mempunyai seribu satu kelebihan. Sebelum itu, saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan sekiranya ada salah dan silap, sengaja ataupun tidak sengaja.
Tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya. Ada resolusi-resolusi yang perlu dicapai. Jika ketika zaman hingusan dulu, resolusinya cukup mudah, hendak puasa penuh. Ataupun tidak mahu meninggalkan solat tarawikh. Tetapi, tika umur sudah mencecah puluhan (20 tahun je baru. =p), resolusi-resolusi tersebut telah berganjak ke tahap yang lain. Alhamdulillah, tidak berganjak ke bawah, tetapi ke atas.
Antara resolusi-resolusi yang dipersetujui oleh rakan-rakan :
1. Tidak meninggalkan solat sunat Tarawikh. (sekurang-kurangnya 8 rakaat)
2. Tadarus Al-Quran (rumah kami perlu menghabiskan juzuk 19-25)
3. Qiamullail (sekurang-kurangnya seminggu sekali)
4. Membuat jamuan berbuka puasa di rumah masing-masing (walaupun boleh berbuka di musolla)
5. Membaca Al-Mathurat pagi dan petang.
6. Menginfakkan sejumlah harta (sekurang-kurangnya $0.50 setiap hari)
7. Tidak meninggalkan sahur (digalakkan melewatkan sahur)
8. Membanyakkan amalan-amalan sunat seharian (Baca Al-Quran, solat sunat etc)
Rasa-rasanya itu sahaja resolusi-resolusi saya pada tahun ini. Sebelum saya mengakhiri post ini, suka saya sertakan antara hadis-hadis yang membuatkan saya bertambah semangat untuk melaksanakan resolusi-resolusi di atas,
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Seandainya umatku mengetahui keistimewaan Ramadan, pasti mereka mengharapkan semua bulan menjadi Ramadan.” (Riwayat Ibnu Hiban)
“Apabila masuk bulan Ramadan, maka dibukakan pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikat semua syaitan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
“Pada malam pertama bulan Ramadan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup pun satu daripadanya. Maka berserulah penyeru, wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang demikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadan).” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)
"Sesiapa yang menunaikan satu perkara fardhu padanya iaitu pada bulan Ramadhan,seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu pada bulan yang lain"
"Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan, seolah-olah dia telah melakukan perkara fardhu pada bulan yang lain".
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan tengkuknya daripada api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun." Kami bertanya "Wahai Rasulullah, tidak semua dari kalangan kami memiliki sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa". Lalu Baginda menjawab "Allah akan memberi ganjaran pahala tersebut kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa walau dengan seteguk susu, tamar atau air. Barangsiapa yang memberi makan sehingga kenyang orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum dengan air telagaku di mana orang yang meminumnya tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke syurga".
Oh ya. Hampir terlupa. Satu lagi resolusi iaitu ; tidak akan memasang lagu raya sehinggalah malam raya kerana ianya seolah-olah menunjukkan yang saya tidak sabar-sabar meninggalkan bulan Ramadhan.
Sekian.
Selamat mencari keredhaan dan kemuliaan bulan Ramadhan
No comments:
Post a Comment