Friday, May 2, 2008

Tuhan masih sayangkan kita

Mukadimah

Ketika membicarakan tentang prospek industri minyak dan gas baik di dalam negara ataupun global, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, merupakan orang yang paling arif untuk dijadikan rujukan.

Selain berpengalaman luas, beliau adalah seorang yang cukup teliti tentang apa yang diperkatakan dan sentiasa membuat kajian sendiri.

Tidak hairanlah apabila beliau membayangkan rakyat Malaysia perlu bersedia membayar lebih (untuk mendapatkan minyak) pada masa depan berikutan berlakunya penyusutan dalam sumber negara, ia harus diberikan perhatian serius kerana implikasi besarnya terhadap pembangunan ekonomi negara dan juga rakyat.

‘‘Pada pandangan saya, perkara yang berlaku ini adalah satu yang kritikal kepada anak cucu kita. Sumber (minyak dan gas) semakin berkurangan,’’ kata beliau.

Mohd. Hassan menjangkakan Malaysia yang kini merupakan pengeksport minyak, akan menjadi pengimport bersih bahan berkenaan menjelang tahun 2010, iaitu hanya tiga tahun dari sekarang apabila permintaan yang ada bakal mengatasi pengeluaran.

‘‘ Hari ini, sumbangan Petronas masih lagi tinggi tetapi esok apabila sumber makin sikit dan harganya pula jatuh, sumbangan akan berkurangan, macam mana kita akan menanggung semua (membangunkan negara) ini. Keadaan ini akan berlaku dan hanya menunggu masa sahaja,’’ kata beliau.

Pengurangan sumber berkenaan bukan fenomena yang hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga melanda dunia berikutan usaha mendapatkan komoditi yang dikenali sebagai emas hitam, kini diburukkan oleh peningkatan kos untuk mengeluarkannya dari perut bumi selain terdapat kekangan terhadap tenaga manusia dalam industri itu.

‘‘Tuhan masih lagi sayang kepada kita kerana itu kita berjaya temui rizab laut dalam,” kata beliau dalam satu temu bual dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOWARDI MAHMUD, KHAIRUDDIN MOHD AMIN dan AMRAN AHMAD di pejabatnya baru-baru ini.

Namun begitu, menurut Mohd. Hassan, penemuan kawasan minyak laut dalam yang baru masih belum mencukupi kerana permintaan dalam negara yang dijangka terus meningkat, lambat-laun apa yang dimiliki itu akan habis juga.

Dalam temu bual itu, beliau juga menceritakan kesukaran mendapatkan sumber manusia dan kejayaan Petronas melahirkan jutawan bumiputera melalui pengendalian stesen minyaknya dan penting syarikat bumiputera membina modal insan dan juga keupayaan diri untuk bersaing.

MINGGUAN: Petronas sekali lagi mengumumkan hasil kewangan yang tertinggi dalam sejarahnya, jadi banyaklah duit yang ada.

Mohd. Hassan: Keuntungan itu juga kita terus pulangkan kepada kerajaan. Pada tahun ini, kita memberi balik sebanyak RM58.1 bilion atau 77 peratus kepada kerajaan bagi digunakan untuk tujuan pembangunan dan melaksanakan agendanya yang memberi faedah kepada rakyat. Tetapi, sejauh mana ia digunakan secara cekap, ia adalah satu soalan lain.

Bolehkah Tan Sri jelaskan lagi?

MOHD. HASSAN: Tanggungjawab Petronas adalah mengembalikan (keuntungan) kepada kerajaan untuk melakukan apa yang perlu dibuat supaya kesannya dirasai oleh rakyat. Tahun lepas, terdapat pihak mempersoalkan kenapa keuntungan itu tidak diberikan terus kepada rakyat RM1,000 seorang dan berdasarkan pencapaian yang baru diumumkan, kita patut bagi RM3,000 seorang. Persoalan itu menjadi satu isu, sama ada duit digunakan sebaiknya atau dibazirkan, contohnya dalam pemberian subsidi ketika sumber minyak dan gas yang dinikmati semakin berkurangan.

Ini bermakna hasil Petronas boleh berkurangan pada masa depan

MOHD. HASSAN: Memang kerana berlakunya penyusutan itu. Kami merupakan penyumbang terbesar tunggal kepada pendapatan kerajaan sebanyak 35 peratus berbanding sektor-sektor yang lain termasuk perkilangan. Hari ini, sumbangan Petronas masih lagi tinggi tetapi esok apabila sumber makin sikit dan harga minyak pula jatuh, sumbangan akan berkurangan, macam mana kita akan menanggung semua ini (membangunkan negara). Keadaan ini akan berlaku dan hanya menunggu masa sahaja.

Apakah kita harus bersedia untuk membayar lebih?

MOHD. HASSAN: Saya rasa rakyat kena sedar yang sumber petroleum semakin susut. Dulu bijih timah tapi kita sudah kehabisan bekalannya walaupun harga timah sekarang ini mencapai AS$13,800 setan, kita sudah tidak ada sumber bahan itu lagi.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, bilakah ia akan habis?

MOHD. HASSAN: Itu terpulang kepada permintaan dan bagaimana kita menggunakan sumber yang kita ada. Jadi, sekiranya permintaan meningkat tinggi maka kadar pengurangan bekalan akan menjadi semakin cepat. Soalnya, adakah kita mahu terus guna (sumber yang ada) selagi boleh sampai habis dan mana manfaat yang boleh kita raih? Apakah kerana benda itu kita peroleh secara murah maka kita tidak payah simpan atau menggunakan secara cekap? Berdasarkan kepada kekurangan yang kita hadapi ini, pada hari ini (bekalan) hanya hampir mencukupi dan memenuhi permintaan.

Adakah tahap penyusutan sumber petroleum membimbangkan?

Mohd. Hassan: Pada kadar pertumbuhan permintaan sebanyak empat peratus setahun terutamanya dalam sektor pengangkutan, negara akan menjadi pengimport bersih minyak menjelang tahun 2010. Permintaannya menjadi lebih besar daripada pengeluaran. Kadar penyusutannya adalah tinggi. Kita bernasib baik mempunyai 30 peratus daripada rizab (minyak) di laut dalam yang ditemui lima tahun lalu. Kalau tidak, sumber kita sudah habis lama (tanpa penemuan medan minyak laut dalam), apa yang kita miliki berkurangan pada kadar yang pantas. (Jika tiada rizab minyak laut dalam) Pengeluaran akan berkurangan daripada 600,000 tong sehari kepada 250,000 atau 300,000 tong sehari. Menjelang tahun 2010, pengeluaran akan berkurangan kepada 300,000 tong sehari tetapi ketika ini kita mempunyai pengeluaran baru. Pengeluaran akan jatuh sebanyak 15 peratus setahun menjelang tahun 2011. Bermula tahun 2014, pengeluaran akan jatuh sebanyak 10 peratus setahun. Nasib kita jumpa (medan minyak) di laut dalam pada tahun 2002.

Tuhan, masih sayangkan kita. Bukankah kita menemui telaga baru di laut dalam?

Mohd. Hassan: Pengeluaran minyak laut dalam di Kikeh (Sabah) akan dilakukan pada bulan September tahun ini. Ia akan tampung balik kejatuhan yang berlaku sebelum ini (pengeluaran). Tapi selama mana? Lambat laun akan habis juga.

Apakah pilihan yang ada?

MOHD. HASSAN: Kita boleh import (gas asli) dari negara-negara lain. Tetapi apabila pengeluaran di seluruh dunia jatuh, mereka (pengeluar gas asli) memberikan keutamaan kepada kegunaan sendiri. Sebagai contoh, Indonesia tidak benarkan import (gas asli) dilakukan. Ini adalah satu masalah. Begitu juga di Vietnam dan Mesir yang menetapkan pengeluaran gas pada jumlah tertentu untuk penggunaan dalam negara. Jadi, kita hendak import (gas asli) dari mana? Kalau dapat import pun kita kena bayar harga pasaran yang mana jauh lebih tinggi daripada harga domestik. Pada pandangan saya, perkara yang berlaku ini adalah satu yang kritikal kepada anak cucu kita. Sumber (minyak dan gas) semakin berkurangan.

Ada yang mengatakan kenapa tidak kita terus sahaja mencari gali?

Mohd. Hassan: Kos operasi telah meningkat. Kos penggerudian naik 200 peratus. Kos mencari dan kos pembangunan (medan minyak) juga meningkat dalam tempoh satu hingga dua tahun ini. Ini kos yang ditanggung hari ini. Sekiranya harga (minyak) kekal tidak mengapa tetapi jika harga jatuh, anda akan menanggung kerugian, ia tidak lagi menguntungkan dari segi (skala) ekonomi. Beberapa projek (dalam industri minyak dan gas global) telah ditangguhkan kerana kenaikan kos ini. Ia merupakan kitaran jangka masa panjang. Jika dilihat daripada penangguhan projek, kita akan menyaksikan pembekalan berkurangan dan permintaan akan meningkat.

Apakah penyelesaiannya?

Mohd. Hassan: Pada hari ini, permintaan adalah 84 juta tong sehari dan pada tahun 2012 pula sebanyak 120 juta. Persoalan timbul di mana kita perlu mencari 36 juta tong sehari (menjelang tahun 2012). Kita perlu bergantung kepada Timur Tengah iaitu Iran dan Iraq tetapi keadaan geopolitiknya tidak stabil. Apa akan berlaku jika Timur Tengah tidak dapat memenuhi permintaan?

Sebelum ini kekurangan modal insan juga dikatakan perkara serius?

Mohd. Hassan: Industri juga mengalami kekurangan modal insan. Bagi mengatasinya, pada tahun lalu kami mengambil 1,100 jurutera dalam semua bidang kejuruteraan dan kemudiannya menukarkan mereka menjadi jurutera petroleum. Mereka akan pergi ke universiti, belajar balik selama 18 bulan untuk jadi jurutera petroleum. Mereka yang mempunyai (ijazah) sains tulen pula akan ditukarkan kepada saintis geologi. Bagaimanapun ini mengambil masa. Selepas mereka menamatkan pengajian (di universiti) mereka masih lagi baru (tidak mempunyai pengalaman) dan ia mengambil masa antara lima tahun hingga tujuh tahun sebelum mereka boleh digunakan. Anda mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun sebelum mereka bersedia. Purata umur pekerja dalam industri ini ialah 52 tahun dan jika masa selama 10 tahun diperlukan untuk mendapatkan orang baru, pekerja yang ada akan berusia 62 tahun (ketika kakitangan baru berkhidmat). Jurang antara pekerja sedia ada dan pekerja baru adalah besar.

Bagaimana pula dengan kehadiran pekerja yang berpengalaman?

Mohd. Hassan: Hampir separuh daripada pekerja dalam industri minyak dan gas global akan bersara dalam jangka masa 10 tahun akan datang. Kami juga rekrut dan latih tetapi kami merana. Dalam masa tujuh hingga 10 tahun mereka lari ke Australia, Timur Tengah dan United Kingdom. Kami menjangkakan akan terus kehilangan (pekerja) berpengalaman walaupun kami mengambil 1,100 pekerja ini. Modal insan merupakan masalah jangka panjang. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyelesaikannya, khususnya saintis geologi. Kita juga memanggil balik pesara Petronas.

Kenapa perkara itu boleh berlaku?

Mohd. Hassan: Generasi muda tidak seperti generasi tua yang lebih setia. Mereka melihat kepada wang. Ini adalah sifat biasa generasi lebih muda. Syarikat minyak di negara lain menawarkan gaji yang lebih tinggi. Tahun lalu, kami kehilangan 270 orang pekerja yang mana 131 orang majoritinya jurutera. Mereka meninggalkan (Petronas) sebab wang. Sekumpulan lagi yang lebih berpengalaman, mereka pergi (ke luar negara) sebab mahukan sistem pendidikan yang baik untuk anak mereka.

Ada yang menyertai semula Petronas?

Mohd. Hassan: Tidak. Saya tidak menukar dasar (tidak mengambil balik pekerja yang telah keluar). Saya mahu menghargai mereka yang setia. Kami ada 75 peratus pekerja yang setia tetapi saya tidak memerlukan mereka yang keluar dan mahu kembali semula.

Dengan peningkatan kos, adakah Petronas mempunyai dana yang mencukupi?

Mohd. Hassan: Kami mempunyai dana yang mencukupi. Kita mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab dan Petronas mempunyai 25 peratus keuntungan untuk berkembang. Sekiranya kalau kos terlampau tinggi, kami tidak akan melabur. Ia tidak menguntungkan berdasarkan (skala) ekonomi. Ini yang berlaku di seluruh dunia. Semua orang melihat dan mengkaji semula pelaburan mereka.

Berbalik kepada perkara lain, Petronas juga terlibat dalam membangunkan ekonomi bumiputera.

Mohd. Hassan: Petronas Dagangan Bhd., anak syarikat Petronas, mempunyai 832 stesen minyak, yang mana 95 peratus pemilik adalah bumiputera. Stesen minyak ini merupakan tempat latihan orang Melayu menjadi pengedar. Ia untuk pembangunan ekonomi orang Melayu. Jika dilihat pengusaha stesen Shell (yang majoritinya bukan bumiputera) mereka menjadikan stesen minyak ini sebagai tempat proses pembelajaran perniagaan pertama untuk anak-anak mereka. Anak mereka datang (ke stesen minyak) pada hujung minggu. Stesen minyak Petronas ini boleh dijadikan mekanisme latihan untuk masyarakat Melayu berniaga. Selain itu ia juga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka. Pada hujung minggu anak ataupun anak saudara pengusaha stesen minyak boleh datang ke stesen minyak dan lihat bagaimana ia beroperasi dan ini merupakan permulaan keusahawanan tetapi mereka tidak mahu belajar.

Bagaimana mereka boleh memperbetulkan keadaan ini?

Mohd. Hassan: Apabila mereka telah menjadi pengedar, bawalah anak ke stesen dan melihat bagaimana perniagaan dilakukan. Ia adalah tempat untuk melahirkan usahawan.

Adakah Petronas telah mencapai kejayaan?

Mohd. Hassan: Kita telah lahirkan banyak jutawan Melayu melalui perniagaan pengendalian stesen-stesen minyak Petronas. Bagaimana pula dengan perkembangan syarikat penyedia khidmat sokongan Petronas.

Adakah Tan Sri puas hati?

Mohd. Hassan: Mereka telah dibangunkan sejak 20 tahun lalu tetapi mereka kurang memberi tumpuan kepada latihan. Mereka sepatutnya membangunkan modal insan dan bukan mengambil pekerja dari syarikat lain selain membina keupayaan diri. Kesemua ini untuk faedah tempoh jangka masa panjang. Ini adalah perniagaan global, mereka perlu cekap dari segi kos, mempunyai bakat dalam modal insan, mempunyai teknologi barulah boleh bersaing.

**Dipetik daripada http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0701&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Rencana nie dah lame dah actually. last year time winter. but saje je paparkan balik. coz sangat suke rencana nie. ade kene mengena sket ngan aku. =)

No comments: